Kenapa Tidak Kita Mulakan Dari Diri Kita ?

Kenapa Tidak Kita Mulakan Dari Diri Kita?

Masyarakat kita sekarang ni asyik sibuk kutuk orang ini dan kutuk orang itu. Kenapa tidak masing-masing saling memperbaiki diri sendiri dulu? Yang jiran saling mengumpat sesama jiran. Yang rakyat saling mengkritik dan tidak puas hati kepada pemimpinnya. Tapi, ramai pula yang berebut nak jadi pemimpin dan nak angkat pemimpin masing-masing. Tidak tahu ke betapa besarnya beban yang bakal dipikul? Pemimpin yang ada pun tidak mampu kita senangi, kita sudah sibuk nak angkat yang lain...

Tak sedar ke yang diri sendiri tu pun jauh dari agama dan banyak sangat yang tidak betulnya. Kenapa tidak kita melihat diri kita dulu? Kenapa tidak kita perbetulkan diri kita dahulu. Carilah titik persefahaman tu bermula dari diri sendiri dulu. Jangan asyik tuding jari ke arah orang lain saja. Dalam tidak sedar, kita pun turut membiarkan diri kita jahil sendiri.

Kalau cakap agama untuk mengkritik jadi nombor satu. Tapi bila disoal balik, sudah faham ke 30 juzuk Quran tu? Kitab tafsir mana yang pernah kita fahami? Sudah pernah belek ke kitab imam Bukhari dan Muslim? Masa tu lah baru tahu nak belajar menganga... Sendiri pun masih jahil, jangan sibuk nak salahkan orang lain. Orang lain pun lebih kurang sama macam kita. Sama-sama banyak yang tidak tahu. Jangan jadi umpama ayam sama itik bertelagah tidak ketahuan asal...

Mulakanlah mengkaji dan mempelajari. Banyak sangat sebenarnya yang kita tidak tahu, tapi kita ni kebanyakannya perasan macam banyak tahu. Bila dah banyak tahu dan tidak senang dengan orang, itu yang semua dari orang lain asyik nampak macam tak betul saja...

Kebanyakan kecelaruan yang timbul adalah sebenarnya bemula dari diri kita sendiri. Sebab perasan banyak sangat tahu dan menganggap orang lain tidak tahu macam yang kita tahu. Bila masing-masing perasan tahu, memang susah lah jadinya. Masing-masing nak ada di atas. Nak semua orang ikut cakap kita. Akhirnya, bertengkar tidak habis-habis. Masing-masing sebenarnya bodoh, tapi tidak reti untuk muhasabah...

Tapi, bagi orang yang memang betul-betul tahu... Dia lebih suka duduk diam, tunggu dan lihat. Bertindak dengan pengetahuan yang sebenar. Segala cadangan dan tindakan yang bakal diambil dikaji dan dianalisa dengan teliti terlebih dahulu. Segala fakta dan bukti, diselidiki satu demi satu. Segala kajian memiliki sumber dan fakta yang betul. Kesannya difahami dan dikenal pasti terlebih dahulu. Akhirnya, tindakan berlangsung dengan penuh kemantapan, kecekapan dan hujjah.

Bukan main lepas cakap, buat hentam keromo, dan kesannya sering menyusahkan orang lain... Akhirnya diri sendiri juga yang pening.

Fahamilah bahawa sebuah masyarakat yang baik itu terbina dari perkumpulan banyak individu. Seseorang individu memainkan fungsi yang sangat utama dalam sesebuah kelompok keluarga. Gabungan banyak buah keluarga akhirnya membina sebuah komuniti dan seterusnya sebuah masyarakat. Kelompok masyarakat akhirnya membina sebuah negara dan kesatuan yang lebih besar. Oleh itu, periksalah diri kita yang merupakan seorang individu yang mengisi sebuah masyarakat. Kerana, sebuah masyarakat itu baik buruknya bermula dari diri kita dan keluarga kita...

Oleh itu, mulakanlah melihat diri. Tambahkan info dan input dengan fakta dan bukti. Jangan cepat melenting. Jadilah manusia yang mampu bertenang dan bersikap rasional dengan segala persediaan yang mencukupi. Jagalah diri, jagalah keluarga, hiasi peribadi dan perbaikilah masyarakat dengan sikap kita yang berakhlak, sabar, dan menawan.

Mulakanlah belajar agama dengan jujur...

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, 66: 6)


Digg Technorati del.icio.us Stumbleupon Reddit Blinklist Furl Spurl Yahoo Simpy