ANAK
ANUGERAH
ILLAHI ...
Mendapat cahaya mata dari baka sendiri cukup membahagiakan si ibu. Demikian juga si ayah. Lebih-lebih lagi saat menunggu kelahiran penyeri rumahtangga ini sudah terlalu lama. Si ibu rasa bangga kerana berjaya memenuhi hasrat suami dan keluarga. Bahkan, si ibu sendiri cukup puas dan bersyukur kepada Ilahi kerana dikurniakan anak yang diimpikannya.
Anak adalah anugerah Ilahi. Rezeki dan kurniaan dari Allah SWT kepada pasangan suami isteri. Semua pasangan secara fitrahnya berhajat dan sentiasa mengharapkan kurniaan ini. Sama ada pasangan yang Muslim mahupun bukan Muslim. Oleh itu, ibu bapa Muslim harus tahu menilai kurniaan ini. Anak adalah amanah Allah. Ibu bapa harus tahu hakikat ini. Ini tuntutan Islam. Ibu bapa yang tidak faham dan tidak tahu menilai anugerah ini akan mengabaikan kewajiban mereka. Tanggungjawab menjaga dan mendidik anak dianggap remeh.
Tidak semua orang yang berkahwin mudah dan cepat menimang cahaya mata. Allah yang menentukan dan mengurniakan amanah ini. Oleh itu, pasangan yang telah diizinkan oleh Allah mendapat anak mesti menjaganya dengan baik. Curahkan kasih sayang dan perhatian yang sebaik dan seimbang mungkin menurut perintah Allah dan didikan Rasulullah SAW.
Allah SWT berfirman, "Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa." (asy-Syura: 49-50).
Oleh itu, kita wajib menyambut anak yang lahir dengan penuh kesyukuran dan kasih sayang kerana ini nikmat dari Allah SWT. Nikmat yang akan menjadi penyeri rumahtangga. Membahagia dan menyenangkan hati suami. Apatah lagi si isteri. Firman Allah, "Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami)". (al-Furqan: 74).
Allah SWT juga ada merakamkan doa hamba-hambanya yang mahukan pewaris perjuangan mereka. Misalnya, doa Nabi Zakaria, "Ya Rabbi, kurniakan aku seorang anak yang baik di sisi Engkau." (ali Imran: 3. "Anugerahkan aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian keluarga Ya’kub." (Maryam: 5-6).
Bahkan, anak yang baik ini akan memberi manfaat kepada ibu bapa apabila kembali kepada Allah. Akhlaq Hussain pernah mengungkapkan, "Anak-anak yang soleh akan menjadi sumber sedekah jariah bagi ibu bapa". Itupun jika anak-anak itu dididik, diasuh dan dijaga diri serta jiwa mereka dengan sempurna hingga menjadi mukmin yang sebenar. Hanya anak soleh yang melayakkan seorang ibu atau ayah memperolehi sedekah jariah di akhirat nanti.
Kita menyedari bahawa Allah SWT telah memerintahkan setiap Muslim supaya menjadikan diri sebagai manusia yang dikehendaki Allah iaitu rabbani. Allah berfirman, "Hendaklah kamu menjadi manusia-manusia rabbani". (ali-Imran: 79).
Ibu bapa mempunyai tugas berat mendidik anak-anak yang rabbani. Satu tanggungjawab yang suci untuk menghasilkan manusia-manusia yang hanya taat kepada Allah dan RasulNya. Amanah ini cukup berat, tapi ia akan ditanya oleh Allah kelak.
Rasulullah SAW bersabda, ".... dan setiap suami adalah pemimpin bagi keluarganya. Ia akan diminta pertanggungjawabannya dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah dan anak suaminya, dan ia akan diminta pertanggungjawabannya".
Sehubungan itu, ibu bapa mesti memahami dan menunaikan setiap hak anak yang dipikulkan kepada mereka. Sabda Nabi, "Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila sudah cukup umur dan mengajarnya al- Qur’an". (Riwayat al-Hakim & ad-Dailami).
Baginda SAW juga pernah bersabda, "Tidak ada suatu pemberian yang lebih baik daripada seorang ayah kepada anaknya daripada budi pekerti yang baik". (Riwayat at-Tirmidzi).
Di samping itu, kasih sayang ayah dan ibu mesti diberi kepada anak-anak. Ini hak mereka. Perhatian dan kasih sayang mereka perlukan untuk menjadi insan rabbani. Akhlaq Hussain menulis, "Seandainya ibu bapa tidak melayani anak-anak mereka dengan kasih sayang, bagaimanakah mereka mengharapkan anak itu berkelakuan baik kepada mereka?".
Oleh itu, mendidik anak-anak menjadi insan soleh adalah tanggungjawab dalam agama Islam. Ibu bapa tidak seharusnya gagal mendidik anak-anak di dunia ini. Jika gagal mendidik anak kerana lalai, maka beban yang berat akan dipikul di akhirat nanti. Allah SWT telah memperingatkan perkara ini menerusi firmanya, "Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka". (at-Tahrim: 6).
Anak-anak adalah penyambung kehidupan keluarga dan penerus hasrat ibu dan ayah. Mereka mesti dididik agar menjadi anak yang soleh. Dipersiapkan untuk memikul dan melaksanakan tugas menyebar dan membela Islam. Merekalah yang mewarisi kerja-kerja kita yang belum selesai. Mereka mesti bertanggungjawab untuk menyambung tugas suci ini dengan lebih berkesan.
Oleh itu, cuba tanya diri kita.
- Seriuskah kita dalam kerja mendidik ini?
- Betulkah cara yang kita guna untuk mendidik, mengasuh dan menjaga anak-anak kita?
- Adakah kurniaan ini kita anggap beban?
- Atau orang yang diseru dan dididik kefahaman, kesedaran dan peribadi mereka?
- Inikah cara didikan yang disyariatkan oleh Allah SWT dan ajaran Nabi SAW?
-------------------------------------------------------------------------------------------------
40 Kesilapan IbuBapa
- Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat
- Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat
- Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak
- Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak
- Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak anak
- Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan
- Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan
- Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak
- Kurang melahirkan kasih sayang
- Sering mengeluh di hadapan anak-anak
- Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah
- Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan
- Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak
- Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak
- Tidak memprogramkan masa rehat dan riadah anak-anak
- Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca
- Mengizinkan anak-anak menjamah makanan dan minuman yang tidak halal
- Tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik di hadapan anak-anak
- Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak
- Terdapat jurang komunikasi di antara ibubapa dengan anak-anak
- Tidak menggunakan bahasa yang betul
- Suka bertengkar di hadapan anak-anak
- Sentiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak
- Tidak membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat
- Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak
- Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak
- Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak
- Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak
- Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak
- Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak
- Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak
- Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak
- Kerap meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan anak-anak
- Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan
- Sering mengancam dan menakutkan anak-anak
- Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan
- Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman ke atas anak-anak
- Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak
- Tidak tegas mendidik anak-anak
- Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama